Perjuangan masyarakat global dalam membanteras penularan COVID-19 masih lagi belum berakhir. Namun dengan pengenalan vaksin yang mula diedarkan di seluruh dunia memberikan harapan baru untuk kita semua.

Di negara kita, program vaksinasi terbesar dalam sejarah telah pun dilancarkan dengan fasa pertama memberi tumpuan kepada vaksinasi anggota barisan hadapan.

Namun di sebalik ketibaan vaksin di negara kita ada juga yang mengambil kesempatan untuk menipu dan mendakwa menjualnya di pasaran.

Memetik laporan Astro Awani, pihak polis telah menerima dua laporang berhubung penipuan penjualan vaksin COVID-19. Penipuan tersebut melibatkan kerugian bernilai RM285,499.95. Satu jumlah yang sangat besar.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kes ini masih lagi di dalam siasatan.

IKLAN

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial mengesan terdapat penularan informasi di media sosial berkenaan penjualan vaksin COVID-19 secara dalam talian.

“Walaupun pihak pengendali perkhidmatan jualan berkenaan telah mengeluarkan kenyataan bagi menafikan terdapatnya iklan tersebut, namun polis tidak menolak kemungkinan wujudnya iklan-iklan palsu berkenaan penjualan vaksin COVID-19 pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

IKLAN

PERINGATAN KEPADA MASYARAKAT

Beliau turut berkata kerajaan telah mengumumkan pemberian vaksin COVID-19 akan dilaksanakan secara percuma kepada rakyat Malaysia dan memberikan peringatan untuk masyarakat.

“Justeru sebarang tawaran penjualan vaksin oleh mana-mana pihak adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan berkemungkinan satu penipuan.

IKLAN

“JSJK sentiasa akan melaksanakan pemantauan secara berterusan bagi mengesan dan membanteras mana-mana pihak yang cuba mengiklankan penjualan vaksin secara dalam talian,” jelasnya.

Menurutnya lagi, orang ramai juga diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan tindakan pihak tidak bertangungjawab dan sentiasa peka dengan pengumuman serta arahan dikeluarkan kerajaan berkaitan program vaksinasi.

Buat anda semua usahlah terpengaruh dengan penipuan seperti ini. Dapatkan maklumat sahih menerusi portal rasmi kerajaan seperti dari Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan juga palikasi MySejahtera.

Follow IG Maskulin untuk update terkini gaya hidup lelaki!